1.0 Pengenalan E-Dagang
Secara asasnya, perniagaan merupakan
satu entiti dimana para usahawan atau syarikat-syarikat pembekal produk dan
perkhidmatan menyediakan perkhidmatan jual beli produk dan perkhidmatan untuk
digunakan oleh orang ramai dalam memenuhi keperluan hidup. Kebiasaannya,
perniagaan selalunya dijalankan di sekitar bangunan kedai, bazar dan premis
perniagaan, plaza mall dan sebagainya namun trend perniagaan pada hari ini
telah berubah di mana corak perniagaan lebih tertumpu secara dalam talian atau
bahasa mudahnya internet. Dalam era digital dimana setiap maklumat boleh
diakses dengan mudah dan pantas pada hari ini telah mendorong usahawan-usahawan
dan syarikat-syarikat perniagaan mewujudkan satu konsep perniagaan maya yang
dipanggil sebagai perniagaan atas talian atau juga disebut sebagai e-dagang.
Terdapat beberapa definisi dan
tafsiran mengenai konsep e-dagang. Dalam pengertian yang mudah e-dagang adalah
satu platform perniagaan berasaskan elektronik dimana internet adalah asas
utama dalam e-dagang. Menurut laman web Wikipedia, perdagangan elektronik atau
e-dagang merujuk kepada perniagaan atau perdagangan yang menggunakan peralatan
dan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat sebagai medium untuk tujuan
komunikasi dan juga transaksi. Menurut David McGeachie (1999), e-dagang merujuk
kepada satu kaedah transaksi perniagaan dan perdagangan secara elektronik.
Namun begitu konsep e-dagang adalah berbeza dengan e-business meskipun
prinsipnya hampir sama. Selain itu, Mohd Rafee Yusoff (2000) berpendapat bahawa
e-business merujuk kepada rundingan perniagaan melalui internet manakala
e-dagang merupakan urus niaga melalui internet.
Berdasarkan pengertian yang
diberikan, jelas sekali bahawa konsep e-dagang membolehkan sesebuah syarikat
atau individu menjalankan transaksi jual beli dimana-mana sahaja dan bila-bila
masa sahaja tetapi dengan syarat perlunya memiliki kelengkapan ICT dan
prasarana telekomunikasi untuk mengakses internet.
2.0 Sejarah Dan Evolusi E-Dagang
Perkembangan e-dagang bermula sejak
kemunculan internet pada tahun 1969 seterusnya berkembang dan wujudnya E-dagang
( E-commerce ). Internet lahir pada tahun 1969 di Amerika iaitu kelompok
peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Research Institut,
Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah mencipta
sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain yang di kenali
istilah ARPAnet ( Advanced Research Project Agency ) yang mana merupakan salah
satu bahagian keamanan Negara Amerika Syarikat.
Selepas tiga tahun, lebih dari lima
puluh universiti telah terhubung bersama-sama dalam jaringan (network), dan
jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia. Seiring
dengan perkembangan ARPAnet, yang diikuti pula dengan kerjasama jaringan antara
kaum pendidik, dan eksperimen NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini
mulai terhubung satu dengan yang lain, dan muncullah istilah internet.
Dalam konteks perniagaan, internet
membawa impak transformasi yang menciptakan paradigma baru dalam dunia
perniagaan yang dikenali sebagai “Digital Marketing”. Awal tahun
1990-an, perniagaan di internet mula berkembang pesat mencapai jutaan
pelanggan, maka muncullah istilah baru “Electronic Commerce” atau lebih
dikenali E-commerce. Perdagangan Elektronik juga dikenali sebagai e-dagang.
E-dagang merupakan sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan
teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.
E-dagang boleh dibahagikan kepada
dua jenis iaitu e-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan dan e-dagang di
antara perniagaan dengan pengguna. E-dagang di antara perniagaan dengan
perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih syarikat di mana satu
pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain. E-dagang di
antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual
produk akhir dengan pengguna.
E-dagang
menggunakan Internet untuk mewujudkan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan,
penjual dan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit
dan sebagainya dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua
pihak. Dengan adanya e-dagang, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan
transaksi jual beli di mana sahaja di dunia ini. Ia kini digunakan secara
meluas terutamanya di negara-negara barat malah diakui oleh syarikat
antarabangsa dan pakar pasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran
yang tidak boleh diabaikan.
Internet pula boleh menjadi salah
sebuah lokasi perniagaan utama yang menjalankan urusan jual beli barangan dan
perkhidmatan dalam dua cara iaitu yang pertama, memasarkan serta menjual
barangan dan perkhidmatan dan menerima pembayaran elektronik. Cara yang kedua
ialah mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet yang membolehkan
pengguna membeli barangan di rumah atau tempat perniagaan. Secara umumnya
e-dagang adalah model perniagaan yang mana segala aktiviti perniagaan
dijalankan sepenuhnya melalui penggunaan internet sebagai mediumnya. Aktiviti
e-dagang merangkumi penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau
perkhidmatan kepada pelanggan, melakukan pemasaran menerima bayaran melalui
internet dan pengurusan khidmat pelangan secara online. terdapat dua jenis
perniagaan yang boleh di jalankan melalui medium internet iaitu yang berasaskan
produk fizikal, produk digital dan produk perkhidmatan.
3.0 Kepentingan E-Dagang Dalam Perniagaan
Kemunculan e-dagang menyebabkan
kebanyakan perniagaan beralih kepada konsep teknologi maya. Rata-rata usahawan
beranggapan konsep e-dagang dapat membantu dalam mengembangkan perniagaan
kerana internet dapat diakses dimana-mana sahaja. Penggunaan internet dapat
membantu orang ramai dalam mendapatkan maklumat mengenai sesuatu produk dan
perkhidmatan. Kemunculan e-dagang yang kini mendapat perhatian orang ramai
harus diberi perhatian dan dimanfaatkan sepenuh oleh usahawan-usahawan di
Malaysia kerana ia memberikan pulangan yang menguntungkan. Antara
kepentingan-kepentingan e-dagang dalam perniagaan adalah seperti berikut:
- Transaksi yang dijalankan melalui cara
ini sebenarnya banyak membuka peluang kepada para peniaga serta pelanggan
untuk menjalankan perniagaan serta mendapatkan produk yang mereka ingini
dengan lebih cepat serta efektif.
- Sistem ini juga dilihat sebagai salah
satu dari jalan penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh
firma-firma perniagaan di masa lalu. Kewujudan sistem ekonomi seumpama ini
kemungkinan akan memberi kesan secara serius kepada penggunaan kertas,
wang serta cek di masa-masa akan datang.
- Penggunaan e-dagang dapat membantu
usahawan mengembangkan perniagaan. Globalisasi yang berlaku pada hari ini
menyebabkan wujudnya jaringan dunia tanpa sempadan dan semua maklumat
berkaitan dengan perniagaan dapat diakses dengan mudah.
- Penggunaan e-dagang dapat meningkatkan
produktiviti para usahawan dimana mereka dapat berkongsi dan menyebarkan
maklumat dengan cepat dan pantas melalui penggunaan medium seperti blog,
emel dan medium-medium yang lain.
- Dengan penggunaan e-dagang para usahawan
dapat memperoleh maklumat dan maklum balas daripada pengguna dengan lebih
tepat dan cepat. Ini dapat meningkatkan lagi mutu sesuatu produk atau
perkhidmatan yang dijalankan.
- Dengan menggunakan perkhidmatan
e-dagang, syarikat tidak perlu memiliki saiz firma yang besar bagi meyakinkan
pengguna malah dengan adanya rangkaian perkhidmatan talian yang kukuh dan
berkesan ia boleh meyakinkan para pengguna. Secara tidak langsung,
perkembangan teknologi telah menyebabkan kehidupan manusia bergerak ke
arah yang lebih kompleks dan dinamik.
- Dengan bantuan e-dagang, proses
perhubungan dan komunikasi menjadi lebih murah, cepat dan efisien.
- Penggunaan e-dagang adalah berkonsepkan
mesra pelanggan, dimana ianya menyediakan platform pencarian produk yang
lebih mudah, padanan dan kenyataan spesifikasi produk yang boleh
mengurangkan kos pelanggan, sistem pembayaran elektronik yang selamat,
kaedah penghantaran produk yang terjamin serta reaksi yang pantas ke atas
pertanyaan pelanggan.
- Dengan adanya e-dagang, pelanggan lebih
bebas dalam membuat keputusan pembelian kerana mereka mempunyai banyak
pilihan dari pelbagai syarikat lain.
- Penggunaan e-dagang dapat membantu para
usahawan membekalkan lebih banyak maklumat penting kepada syarikat untuk
mengenalpasti dan membuat inovasi dalam sesuatu produk.
4.0 Penggunaan E-Dagang Secara Global
Asas utama perlaksanaan e-dagang
secara global adalah melalui medium internet. Penggunaan internet pada hari ini
telah menyaksikan perniagaan ini sering mendapat tempat di kalangan pengguna.
Sebagai contoh, laman web amazon.com sering kali menjadi tumpuan
pelanggan untuk melakukan urusan dan transaksi. Tidak ketinggalan juga di
Malaysia, laman web lazada.com.my turut menjadi tumpuan pelanggan dalam
berurusniaga. Kewujudan sistem e-dagang ini juga telah merancakkan lagi
aktiviti perniagaan dan juga transaksi kewangan tanpa had masa dan juga
sempadan. Segala jenis perhubungan dan juga penyebaran informasi perdagangan
telah menjadi titik penting dalam usaha untuk mengembangkan dan juga
memperluaskan penggunaan sistem e-dagang secara global.
Kewujudan e-dagang membolehkan
setiap pengguna membuat pilihan walau berada dimana-mana sahaja tidak kira
dirumah mahupun pejabat, sebarang bentuk keselesaan adalah terletak di kalangan
pengguna itu sendiri. Selain itu, e-dagang membolehkan transaksi dilakukan
secara elektronik dan mudah diuruskan. Ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos
dari segi masa dan tenaga, malah sesuatu produk yang sukar ditemui boleh
didapati menggunakan konsep e-dagang dimana setiap pelanggan berupaya mengakses
maklumat dan membuat pilihan.
Penggunaan e-dagang secara global
telah menyaksikan wujudnya satu entiti perniagaan moden yang berkonsepkan
teknologi maklumat atau dipanggil sebagai perniagaan maya. Akan tetapi, isu
utama yang turut ditekankan adalah mengenai keselamatan maklumat peribadi.
Rata-rata pengguna masih lagi waspada dan ragu-ragu terhadap keselamatan
transaksasi melalui talian dimana terdapat kemungkinan maklumat peribadi mereka
serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer. Namun
begitu dengan kemunculan teknologi seperti Secure Electronic Transaction
(SET), Secure Socket Layer (SSL), peningkatan keselamatan Firewall
diharapkan dapat membantu mengurangkan kegusaran pelanggan. Sebagai contoh,
teknologi SET memerlukan pembeli, penjual dan pihak bank berdaftar
dengan badan persijilan tertentu bagi mengesahkan identiti mereka semasa
melakukan urusniaga. Pengesahan ini akan dilakukan secara luar talian seperti
melalui telefon, faks dan sebagainya ( Lee Fong Yeaw, 2013 ).
5.0 Tahap Penggunaan E-Dagang Di Malaysia
Penekanan kerajaan terhadap
kepentingan pembangunan infrastruktur ICT di Malaysia diberi penekanan serius
dengan memperkenalkan Multimedia Super Corridor (MSC) pada tahun 1996.
Di bawah Rancangan Malaysia ke-7 (1996 - 2000), pembangunan infrastruktur ICT
telah dibangunkan bagi mengukuhkan lagi perkembangannya menerusi ekonomi
berasaskan pengetahuan (knowledge based economy) dan masyarakat kaya
maklumat (society information rich) (Unit Perancang Ekonomi, 1996).
Malaysia telah mula memperuntukkan perbelanjaan kepada ekonomi berasaskan
pengetahuan pada pertengahan tahun 1990-an dan antara lain adalah dengan
melancarkan Agenda IT Negara (NITA) dan MSC (Unit Perancang Ekonomi, 2001).
Usaha kerajaan untuk melihat Malaysia
menjadi penggerak dalam pembangunan ICT disedari oleh pemimpin negara yang mana
ICT memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan negara khususnya bagi
meningkatkan keefisienan, produktiviti, dan persaingan (Mohd Yusof, Fuziah,
Mohd Safar, dan Mat Pauzi, 2009). Pihak kerajaan begitu bersungguh dan
konsisten dalam membangunkan dan memperkembangkan ICT di Malaysia. Ianya dapat
dilihat menerusi percaturan dan perancangan yang telah dirangkakan dalam
Rancangan Malaysia ke-8 dan Rancangan Malaysia ke-9. Kerajaan telah
memperuntukkan berbilion ringgit untuk infrastuktur dan pembangunan bagi
program berkaitan dengan ICT menerusi RMK-8 iaitu sebanyak RM7.89 bilion dan
RMK-9 pula sebanyak RM12.89 bilion (Unit Perancang Ekonomi, 2006). Sehubungan
dengan itu, MSC merupakan projek perintis dalam menyelaraskan keseluruhan
perkembangan ICT yang telah direncanakan seluruh negara bagi menuju ke arah era
maklumat (information age) dan menjadi negara maju menjelang tahun 2020
(Mahathir, 1998).
Aplikasi perdana dalam MSC adalah
terdiri daripada tujuh aplikasi kesemuanya iaitu terdiri daripada aplikasi
Kerajaan Elektronik, Kad Pelbagai Guna (MyKad), Sekolah Pintar, Telekesihatan,
Pemasaran Tanpa Sempadan termasuklah e-dagang, Pembangunan Usahawan Teknologi,
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) (Mahathir, 1998; Siliconindia, 2004).
Antara objektif kewujudan projek aplikasi perdana tersebut adalah untuk
melonjakkan pembangunan, memberi peluang perniagaan, dan juga memupuk pembangunan
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam bidang IT serta bidang Multimedia
(Unit Perancang Ekonomi, 2006).
Aplikasi e-dagang merupakan
antara projek yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan lagi
komunikasi dan transaksi menerusi elektronik melalui transaksi perniagaan
secara atas talian (on-line). Hal ini demikian kerana, walaupun ianya
masih diperingkat awal, e-dagang telah menunjukkan potensi yang tinggi dalam
merevolusikan proses dan struktur industri dan mengembalikan semula
persekitaran persaingan bagi perniagaan di seluruh dunia (Mahathir, 1998).
E-dagang merupakan perkara baru di
Malaysia. Kebanyakan pengguna lebih menggemari untuk berurusan secara langsung
dan melakukan transaksi secara bersemuka tanpa menggunakan teknologi ICT
seperti Internet. Hanya segelintir sahaja penduduk yang menggunapakai sistem
e-dagang ini terutamanya untuk aktiviti yang melibatkan urusan transaksi
kewangan seperti pembayaran bil, menempah tiket penerbangan dan membeli barangan
dan perkhidmatan secara on-line (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia
Malaysia, (SKMM), 2008).
Penggunaan e-dagang di Malaysia
dilihat mula berkembang pesat sejak tahun 2000 apabila pendapatan yang
diperoleh adalah sebanyak RM1.6 bilion dan ianya telah melonjak sebanyak 600
peratus berbanding dengan tahun sebelumnya (ITU, 2002). Pada tahun 2000, satu
kajian telah dijalankan dan ianya mendapati lima peratus daripada pengguna
Internet di Malaysia pernah melakukan pembelian menerusi e-dagang (Rosario,
2000). Pada tahun 2005, kajian yang dijalankan oleh SKMM telah mendapati
sebanyak 9.3 peratus pengguna Internet telah melakukan aktiviti yang melibatkan
e-dagang seperti pembelian menerusi on-line (SKMM, 2005). Ianya dilihat terus
meningkat dengan mencatatkan sebanyak 11.4 peratus daripada pengguna Internet
yang pernah melakukan pembelian menerusi Internet (SKMM, 2006). Pada tahun
2010, kajian dari SKMM mendapati bahawa jumlah tersebut telah meningkat kepada
33.6 peratus. Hal ini telah menunjukkan bahawa aktiviti yang melibatkan
e-dagang dalam Internet telah mula mendapat perhatian daripada pengguna
Internet. Penggunaannya adalah semakin meningkat saban tahun dan ianya
dijangkakan akan terus meningkat sejajar dengan peningkatan penggunaan Internet
itu sendiri.
Berdasarkan keratan akhbar Berita
Harian bertarikh 30 Mac 2015, bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka
meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada
2012 (Laporan Ekonomi 2013/3014). Statistik juga menunjukkan lebih banyak
pengguna Internet di Malaysia adalah pembeli berbanding penjual dengan saiz
pasaran urus niaga dalam talian di Malaysia dijangka mencecah RM5 bilion
menjelang 2014 berbanding RM1.8 bilion pada 2010. (Berita Harian, 30 Mac 2015).
Beberapa polisi dan juga strategi
telah diambil oleh pihak kerajaan dan juga para peniaga bagi memastikan
perniagaan secara e-dagang di Malaysia dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Namun begitu, terdapat beberapa isu dan juga perkara yang perlu diberi
perhatian semasa melakukan perancangan dan juga polisi dan juga strategi bagi
e-dagang di Malaysia. Hal ini adalah termasuk dengan perkara yang melibatkan
adat resam, agama, dan juga kebudayaan kerana negara kita terdiri daripada
masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum. Ini akan menjadikan kelainan dalam
merencanakan polisi dan juga strategi bagi e-dagang. Pihak kerajaan dan juga
pihak swasta perlulah memainkan peranan dalam memastikan polisi dan strategi
ini dapat dijalankan.
Untuk menarik perhatian pengguna
untuk menggunakan perkhidmatan e-dagang, sokongan dan peranan kerajaan amat
diperlukan terutamanya berkaitan dengan aspek perundangan dan keselamatan.
Kerajaan perlu merangka beberapa dasar yang dilihat tidak membebankan dan efisien.
Selain itu, peraturan-peraturan yang ditetapkan hendaklah bersifat telus dan
melindungi hak, harta dan mengawal sebarang bentuk penipuan. Kerajaan juga
perlu sentiasa memastikan dan memantau undang-undang e-dagang dari semasa ke
semasa agar ianya tidak mendatangkan beban kepada pengguna.
Peranan swasta juga amat penting
dalam perjalanan e-dagang di Malaysia. Untuk mewujudkan suasana perjalanan
e-dagang yang kondusif, pihak swasta hendaklah mewujudkan satu sistem transaksi
selamat yang melindungi pengguna dari ancaman penggodam siber supaya maklumat
peribadi pengguna tidak disalah gunakan. Penyediaan kemudahan yang bersifat
mesra pelanggan perlu diwujudkan supaya persekitaran komunikasi dan interaksi
dapat dijalankan dengan lancar dan selesa.
6.0 Cabaran Dan Halangan Penggunaan E-Dagang
E-dagang merupakan sebuah teknologi
baru yang tidak terlepas daripada cabaran yang ditempuh dalam usaha untuk
dikembangkan serta digunapakai oleh orang ramai. Ia kurang mendapat sambutan
kerana masih lagi di peringkat awal terutamanya bagi Negara yang membangun.
Cabaran dan rintangan yang dihadapi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia
malahan di seluruh dunia. Tidak semua golongan masyarakat dapat menyambut baik
teknologi baru yang diperkenalkan ini. Terdapat sebahagian yang masih berminat
untuk menggunakan perkhidmatan e-dagang ini untuk urusan kerja dan juga
aktiviti seharian.
Ketidakcukupan perkhidmatan
telekomunikasi jalur lebar merupakan factor utama dalam menjadi penghalang dan
kekangan terhadap perkembangan e-dagang dalam sesebuah negara. Bagi memenuhi
keperluan maklumat dalam laman sesawang kepada pelanggan, perkhidmatan perlu
disediakan oleh pembekal. Pengguna akan mendapat maklumat tersebut menerusi
laman sesawang dan ini akan memberi impak yang positif apabila pengguna
turutmelakukan proses pembelian dan kegiatan perdagangan menerusi internet
(Turban dan King,2003).
Para pengguna lebih mementingkan
kualiti sebenar sesuatu barangan yang dibeli. Pengguna yang bijak tidak melihat
sesuatu barangan dari segi luaran semata-mata tanpa mengetahui kualiti sebenar
barang tersebut. Contohnya, para pengguna dapat mebeli sesuatu produk dengan
hanya melihat catalog yang diiklankan dalam perniagaan internet. Apabila
barangan yang dipesan sampai kepada pembeli, mereka tidak mempunyai pilihan
lain selain daripada terpaksa menerima barangan tersebut walaupun tidak
menepati kehendak mereka (Ding Chong Ming,2012).
Segala maklumat yang dipaparkan juga
turut boleh disalahguna oleh sesetengah pihak. Ini kerana, maklumat-maklumat
yang terkandung di dalam web boleh diubahsuai tanpa meninggalkan sebarang
kesan. Keadaan ini menyebabkan pihak pembekal mengalami cabaran dalam dunia
maya. Selain itu, jenayah siber sering berlaku dikalangan masyarakat dan ia
sukar dikesan kerana mereka mahir memanipulasikan e-dagang. Ada sesetengah
laman web perdagangan palsu menyebabkan pengguna tidak mendapat barangan yang
dipesan walaupun pembayaran telah dilakukan melalui elektronik. Jelaslah,
e-dagang dapat menimbulkan kesan baik dan buruk kepada para pengguna.
7.0 Faktor-faktor Pendorong Penggunaan
E-Dagang
E-dagang merupakan aliran
utama membolehkan sesuatu perniagaan menjual barangan dan perkhidmatan kepada
pengguna secara global (Reynolds, 2004). E-dagang juga dipanggil sebagai
hubungan antara pelanggan dengan organisasi yang bukan hanya berlaku sekadar
untuk berkomunikasi menerusi laman sesawang, malah membolehkan proses pembelian
barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh organisasi dilakukan (Botha,
Bothma & Geldenhuys, 2008).
Turban, Leidner, McLean,
dan Wetherbe (2008) pula mentafsir e-dagang sebagai suatu proses pembelian,
penjualan, pemindahan, pelayanan, atau pertukaran produk, perkhidmatan, atau
informasi menerusi rangkaian komputer, termasuklah Internet. Selain itu,
ungkapan e-dagang turut dikenali sebagai aktiviti-aktiviti perniagaan yang
dilakukan dengan menggunakan pelantar Internet dan dalam laman sesawang secara
khususnya (Chaudhury & Kuiboer, 2002).
Terdapat beberapa faktor
yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan e-dagang yang telah
dikenal pasti oleh pengkaji, iaitu kebergunaan, mudah digunakan, pengaruh
sosial, kepercayaan, kos, dan keselamatan. Faktor kebergunaan dan faktor mudah
digunakan merupakan atribut yang asal daripada Model Penerimaan Teknologi (TAM)
yang dipelopori oleh Davis (1989).
a. Kebergunaan dan
Kemudahgunaan
Berhubung penggunaan
teknologi baharu, iaitu mel elektronik (e-mel) dan tahap penerimaan pengguna
terhadap sistem berkenaan terdapat dua faktor digunakan sebagai pemboleh ubah
berhubung dengan Model Penerimaan Teknologi (TAM), iaitu faktor kebergunaan
(sangat penting dan berguna) dan faktor mudah digunakan. Hasil kajian tersebut
mendapati faktor kebergunaan memiliki tahap signifikan yang kuat terhadap
penggunaan sistem e-mel. Oleh yang demikian, faktor ini mempengaruhi keinginan
pengguna untuk menggunakan sesebuah teknologi baharu (Davis, 1989; Davis,
Bagozzi, & Warshaw, 1989). Selain itu mendapati faktor kebergunaan memiliki
hubungan yang paling kuat terhadap penerimaan perbankan Internet di Hong Kong.
Tambah beliau lagi, faktor lain seperti faktor mudah digunakan, risiko terhadap
perbankan Internet, dan kepembaharuan peribadi dalam teknologi maklumat (IT)
turut memiliki hubungan yang positif dengan menerima guna perbankan Internet.
Lee (2009) pula mengenal pasti bahawa pemboleh ubah kebergunaan memiliki
hubungan positif yang dapat mempengaruhi penggunaan perbankan Internet di
Taiwan.
Selain itu, hasil kajian
mendapati bahawa faktor mudah digunakan turut memberi kesan terhadap keinginan
seseorang untuk membeli menerusi online atau secara offline (Kloping &
McKiney, 2004). Hal ini menunjukkan bahawa seseorang pengguna akan mengenal
pasti atau mencuba sesebuah aplikasi yang disediakan sama ada ia mudah
digunakan atau sebaliknya dan seterusnya mempengaruhi seseorang pengguna untuk
terus mencuba atau menggunakan sistem tersebut atau memberhentikannya. Justeru,
mudah digunakan merupakan faktor penting yang memberi kesan secara langsung
kepada pengguna sama ada mahu membeli secara online atau sebaliknya (McCloskey,
2004).
b.
Pengaruh Sosial
Faktor-faktor lain yang
mempengaruhi keinginan seseorang pengguna untuk menggunakan sesebuah aplikasi
yang baharu seperti e-dagang ialah faktor pengaruh sosial. Hasil kajian oleh
Fan, Saliba, Kendall, dan Newmarch (2005) mendapati pengguna lebih suka memberi
cadangan dan saranan berkaitan sesuatu perkhidmatan yang digunakan kepada orang
lain sekiranya mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Mereka
lazimnya akan memberitahu dan menyarankannya kepada rakan mereka yang terdekat
supaya turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut (Fan dan rakan-rakan,
2005). Pengaruh sosial juga memberi kesan yang lebih mendalam terhadap
penerimaan pengguna terhadap sistem m-dagang (m-commerce) (Wei, Marthandan,
Chong, Ooi & Arumugam 2009). Hal ini menunjukkan pengaruh sosial sebenarnya
memiliki kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan sesuatu aplikasi seperti
m-commerce. Bersandarkan kajian lalu, berikut merupakan hipotesis yang
dibentuk.
c.
Kepercayaan
Kajian oleh Jarvenpaa, Tractinsky, dan Vitale (2000) mendapati faktor
kepercayaan adalah penting dalam hal yang berkaitan dengan risiko dan
pertukaran menerusi elektronik. Ini menunjukkan bahawa faktor kepercayaan
diberi keutamaan oleh pengguna apabila melibatkan penggunaan sesebuah aplikasi
dalam sesebuah laman sesawang. Selain itu, Cho, Kwoo, dan Lee (2007) pula
mendapati bahawa faktor kepercayaan merupakan aspek yang sangat penting dan
rumit dalam suasana persekitaran seperti e-dagang dan m-commerce berbanding
dengan perdagangan secara konvensional. Faktor kepercayaan juga merupakan
faktor asas dalam sesebuah laman web e-pembelian (Lim, Lim, & Heinrichs,
2008). Penerimaan terhadap faktor kepercayaan yang tinggi dalam sesebuah laman
sesawang e-pembelian dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna. Hal ini
menunjukkan bahawa faktor kepercayaan merupakan faktor penentu sama ada
pengguna sesebuah aplikasi tersebut akan menggunakan aplikasi terbabit atau
tidak.
d. Kos
Kajian Mei (2008) mendapati
terdapat hubungan pekali yang negatif antara kos e-dagang dengan sumber
teknologi e-dagang dan dimensi rangkaian perniagaan menerima dan menggunakan
e-dagang. Menurutnya lagi, hal ini menunjukkan bahawa apabila semakin tinggi
kos daripada e-dagang tersebut, maka semakin bertambah halangan untuk menerima
dan menggunakan e-dagang seperti yang dijangkakan. Oleh itu, faktor kos
merupakan faktor yang penting dalam menerima dan menggunakan sesebuah inovasi
(Sathye, 1999).
Malah bagi Sathye (1999),
faktor kos merupakan salah satu sebab yang menjadi halangan terhadap penggunaan
perbankan Internet di Singapura dan Australia. Kesedaran terhadap kos memiliki
hubungan yang signifikan terhadap kecenderungan perbandingan pembelian secara online
(Park, 2010). Pengguna membandingkan terlebih dahulu kos yang ditawarkan dalam
sesebuah laman sesawang sebelum melakukan pembelian. Sehubungan dengan itu,
pengguna amat menitikberatkan perkara berkenaan dengan kos dalam menggunakan
aktiviti yang berkaitan dengan e-dagang. Harga ditakrifkan sebagai jumlah kos
kewangan kepada pengguna untuk membeli (Dillon & Reif, 2004). Justeru,
harga dan kos yang berpatutan merupakan motivasi utama seseorang pengguna
online dalam melakukan urusan pembelian menerusi laman sesawang (Swatman,
Krueger & Van der Beek, 2006).
e.
Keselamatan
Faktor keselamatan juga
sering dibincangkan dan digunakan oleh para sarjana sebagai pemboleh ubah yang
mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesuatu aplikasi yang baharu
seperti dalam aplikasi perbankan elektronik. Di samping itu, penggunaan
transaksi menerusi elektronik atau Internet tidak dapat menjamin keselamatan
100 peratus memandangkan terdapat kes pencerobohan seperti kecurian kata laluan
akaun (atau dikenali sebagai phishing), penggodaman, kod berniat jahat, spam,
gangguan, percubaan penembusan untuk mendapatkan informasi sulit, dan
sebagainya (e-security 2009; Coleman dan Golub, 2008). Justeru, faktor
keselamatan merupakan faktor yang paling penting dalam menjalankan urusan yang
melibatkan urusan transaksi seperti urusan pembelian secara online atau
menerusi kad kredit (Fuenell dan Karweni, 1999). Nadim dan Noorjahan (2007)
mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara faktor keselamatan
dan kerahsiaan berhubung dengan keinginan seseorang pengguna untuk menggunakan
sesebuah sistem. Faktor keselamatan dititikberatkan oleh seseorang pengguna
dalam menggunakan sesuatu sistem yang baharu seperti aplikasi e-dagang.
8.0 Kesimpulan
Perkembangan E-dagang di
Malaysia sememangnya sudah berada pada tahap yang melonjak meningkat dari
semasa ke semasa. Dengan usaha dan inisiatif daripada pelbagai lapisan
masyarakat dan kerajaan agar memastikan sistem E-dagang ini diimpimentasikan
sepenuhnya oleh masyarkat di Malaysia. Pelbagai faktor dan kerangka dan
pembinaan infrastuktur telah membangun kelak. Ia sejajar dengan perkembangan
pesat sistem E-dagang telah diterapkan oleh beberapa Negara maju dan sedang
membangun bagi memacu ekonomi masiing-masing.
Kejayaan e-dagang memerlukan
gabungan perkongsian di antara sektor swasta dan sektor awam. Sektor awam perlu
menjadi peneraju dengan mengelakan kekeliruan di antara beberapa agensi
kerajaan serta berhati-hati supaya tidak timbul pertelingahan daripada sudut kewibaan
(authority). Peningkatan infrastruktur komunikasi dalam bidang teknologi
maklumat akan mempengaruhi kelajuan dan peningkatan penggunaan aplikasi
e-dagang bagi sesebuah negara. Malaysia sudah pun menuju ke arah itu dengan
projek Lebuhraya Multimedia. Oleh yang demikian adalah diharapkan urusniaga
melalui e-dagang akan menjadi satu budaya urusniaga yang menggalakan dalam masa
yang terdekat. Disamping itu juga, perdagangan ini mempunyai peluang yang
sangat besar di dalam kegiatan atau urusan perniagaan di Malaysia. Melalui
e-dagang ini juga akan memperkenalkan cara dan gaya baru dalam urusniaga. Oleh
yang demikian para peniaga harus bersedia dan merangka polisi dan strategi bagi
memasuki pasaran baru dengan e-dagang.
Lampiran
Rujukan
1. Tahap
Hubungan Antara Pelnagai Faktor Terpilih Dengan Keinginan
Menggunakan E-Dagang Dalam Kalangan
Pengguna Internet
-
Ahmad
Syahrul Haniff Mohd Rawi, Siti Zobaidah Omar & Muhamad
Sham Shahkat Ali.
2. Ab. Aziz Yusof. (2008). Pengurus Glokal : Menerjah Pengurusan Global.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.
Bhd
3. Abdul Manaf Bohari. (2009). Isu-Isu Profesional ICT di Malaysia:
Teknologi
Dan Perniagaan. Kuala Lumpur: IBS Buku.
4. Sinar Harian, (13 April 2015), Beri Tumpuan E-dagang.
5. E-Dagang : Satu konsep perniagaan baru.
( 2013 ) . Berita Harian, 23 Mac :10.
6. Bernama,
29 Jun 2015 Potensi E-Dagang Belum
Dimanfaatkan
SepenuhnyaAhmadShabery.