Isnin, 21 November 2016

E-Dagang

1.0       Pengenalan E-Dagang

          Secara asasnya, perniagaan merupakan satu entiti dimana para usahawan atau syarikat-syarikat pembekal produk dan perkhidmatan menyediakan perkhidmatan jual beli produk dan perkhidmatan untuk digunakan oleh orang ramai dalam memenuhi keperluan hidup. Kebiasaannya, perniagaan selalunya dijalankan di sekitar bangunan kedai, bazar dan premis perniagaan, plaza mall dan sebagainya namun trend perniagaan pada hari ini telah berubah di mana corak perniagaan lebih tertumpu secara dalam talian atau bahasa mudahnya internet. Dalam era digital dimana setiap maklumat boleh diakses dengan mudah dan pantas pada hari ini telah mendorong usahawan-usahawan dan syarikat-syarikat perniagaan mewujudkan satu konsep perniagaan maya yang dipanggil sebagai perniagaan atas talian atau juga disebut sebagai e-dagang.

           Terdapat beberapa definisi dan tafsiran mengenai konsep e-dagang. Dalam pengertian yang mudah e-dagang adalah satu platform perniagaan berasaskan elektronik dimana internet adalah asas utama dalam e-dagang. Menurut laman web Wikipedia, perdagangan elektronik atau e-dagang merujuk kepada perniagaan atau perdagangan yang menggunakan peralatan dan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat sebagai medium untuk tujuan komunikasi dan juga transaksi. Menurut David McGeachie (1999), e-dagang merujuk kepada satu kaedah transaksi perniagaan dan perdagangan secara elektronik. Namun begitu konsep e-dagang adalah berbeza dengan e-business meskipun prinsipnya hampir sama. Selain itu, Mohd Rafee Yusoff (2000) berpendapat bahawa e-business merujuk kepada rundingan perniagaan melalui internet manakala e-dagang merupakan urus niaga melalui internet.

           Berdasarkan pengertian yang diberikan, jelas sekali bahawa konsep e-dagang membolehkan sesebuah syarikat atau individu menjalankan transaksi jual beli dimana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja tetapi dengan syarat perlunya memiliki kelengkapan ICT dan prasarana telekomunikasi untuk mengakses internet.

2.0       Sejarah Dan Evolusi E-Dagang

          Perkembangan e-dagang bermula sejak kemunculan internet pada tahun 1969 seterusnya berkembang dan wujudnya E-dagang ( E-commerce ). Internet lahir pada tahun 1969 di Amerika iaitu kelompok peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Research Institut, Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah mencipta sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain yang di kenali istilah ARPAnet ( Advanced Research Project Agency ) yang mana merupakan salah satu bahagian keamanan Negara Amerika Syarikat.

           Selepas tiga tahun, lebih dari lima puluh universiti telah terhubung bersama-sama dalam jaringan (network), dan jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia. Seiring dengan perkembangan ARPAnet, yang diikuti pula dengan kerjasama jaringan antara kaum pendidik, dan eksperimen NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini mulai terhubung satu dengan yang lain, dan muncullah istilah internet.
           Dalam konteks perniagaan, internet membawa impak transformasi yang menciptakan paradigma baru dalam dunia perniagaan yang dikenali sebagai “Digital Marketing”. Awal tahun 1990-an, perniagaan di internet mula berkembang pesat mencapai jutaan pelanggan, maka muncullah istilah baru “Electronic Commerce” atau lebih dikenali E-commerce. Perdagangan Elektronik juga dikenali sebagai e-dagang. E-dagang merupakan sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.

           E-dagang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu e-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan dan e-dagang di antara perniagaan dengan pengguna. E-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih syarikat di mana satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain. E-dagang di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual produk akhir dengan pengguna.

           E-dagang menggunakan Internet untuk mewujudkan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit dan sebagainya dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak. Dengan adanya e-dagang, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual beli di mana sahaja di dunia ini. Ia kini digunakan secara meluas terutamanya di negara-negara barat malah diakui oleh syarikat antarabangsa dan pakar pasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan.

           Internet pula boleh menjadi salah sebuah lokasi perniagaan utama yang menjalankan urusan jual beli barangan dan perkhidmatan dalam dua cara iaitu yang pertama, memasarkan serta menjual barangan dan perkhidmatan dan menerima pembayaran elektronik. Cara yang kedua ialah mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet yang membolehkan pengguna membeli barangan di rumah atau tempat perniagaan. Secara umumnya e-dagang adalah model perniagaan yang mana segala aktiviti perniagaan dijalankan sepenuhnya melalui penggunaan internet sebagai mediumnya. Aktiviti e-dagang merangkumi penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan, melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan khidmat pelangan secara online. terdapat dua jenis perniagaan yang boleh di jalankan melalui medium internet iaitu yang berasaskan produk fizikal, produk digital dan produk perkhidmatan.

3.0       Kepentingan E-Dagang Dalam Perniagaan

         Kemunculan e-dagang menyebabkan kebanyakan perniagaan beralih kepada konsep teknologi maya. Rata-rata usahawan beranggapan konsep e-dagang dapat membantu dalam mengembangkan perniagaan kerana internet dapat diakses dimana-mana sahaja. Penggunaan internet dapat membantu orang ramai dalam mendapatkan maklumat mengenai sesuatu produk dan perkhidmatan. Kemunculan e-dagang yang kini mendapat perhatian orang ramai harus diberi perhatian dan dimanfaatkan sepenuh oleh usahawan-usahawan di Malaysia kerana ia memberikan pulangan yang menguntungkan. Antara kepentingan-kepentingan e-dagang dalam perniagaan adalah seperti berikut:
  • Transaksi yang dijalankan melalui cara ini sebenarnya banyak membuka peluang kepada para peniaga serta pelanggan untuk menjalankan perniagaan serta mendapatkan produk yang mereka ingini dengan lebih cepat serta efektif.
  • Sistem ini juga dilihat sebagai salah satu dari jalan penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh firma-firma perniagaan di masa lalu. Kewujudan sistem ekonomi seumpama ini kemungkinan akan memberi kesan secara serius kepada penggunaan kertas, wang serta cek di masa-masa akan datang.
  • Penggunaan e-dagang dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan. Globalisasi yang berlaku pada hari ini menyebabkan wujudnya jaringan dunia tanpa sempadan dan semua maklumat berkaitan dengan perniagaan dapat diakses dengan mudah.
  • Penggunaan e-dagang dapat meningkatkan produktiviti para usahawan dimana mereka dapat berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan cepat dan pantas melalui penggunaan medium seperti blog, emel dan medium-medium yang lain.
  • Dengan penggunaan e-dagang para usahawan dapat memperoleh maklumat dan maklum balas daripada pengguna dengan lebih tepat dan cepat. Ini dapat meningkatkan lagi mutu sesuatu produk atau perkhidmatan yang dijalankan.
  • Dengan menggunakan perkhidmatan e-dagang, syarikat tidak perlu memiliki saiz firma yang besar bagi meyakinkan pengguna malah dengan adanya rangkaian perkhidmatan talian yang kukuh dan berkesan ia boleh meyakinkan para pengguna. Secara tidak langsung, perkembangan teknologi telah menyebabkan kehidupan manusia bergerak ke arah yang lebih kompleks dan dinamik.
  • Dengan bantuan e-dagang, proses perhubungan dan komunikasi menjadi lebih murah, cepat dan efisien.
  • Penggunaan e-dagang adalah berkonsepkan mesra pelanggan, dimana ianya menyediakan platform pencarian produk yang lebih mudah, padanan dan kenyataan spesifikasi produk yang boleh mengurangkan kos pelanggan, sistem pembayaran elektronik yang selamat, kaedah penghantaran produk yang terjamin serta reaksi yang pantas ke atas pertanyaan pelanggan.
  • Dengan adanya e-dagang, pelanggan lebih bebas dalam membuat keputusan pembelian kerana mereka mempunyai banyak pilihan dari pelbagai syarikat lain.
  • Penggunaan e-dagang dapat membantu para usahawan membekalkan lebih banyak maklumat penting kepada syarikat untuk mengenalpasti dan membuat inovasi dalam sesuatu produk.
4.0       Penggunaan E-Dagang Secara Global

          Asas utama perlaksanaan e-dagang secara global adalah melalui medium internet. Penggunaan internet pada hari ini telah menyaksikan perniagaan ini sering mendapat tempat di kalangan pengguna. Sebagai contoh, laman web amazon.com sering kali menjadi tumpuan pelanggan untuk melakukan urusan dan transaksi. Tidak ketinggalan juga di Malaysia, laman web lazada.com.my turut menjadi tumpuan pelanggan dalam berurusniaga. Kewujudan sistem e-dagang ini juga telah merancakkan lagi aktiviti perniagaan dan juga transaksi kewangan tanpa had masa dan juga sempadan. Segala jenis perhubungan dan juga penyebaran informasi perdagangan telah menjadi titik penting dalam usaha untuk mengembangkan dan juga memperluaskan penggunaan sistem e-dagang secara global.

           Kewujudan e-dagang membolehkan setiap pengguna membuat pilihan walau berada dimana-mana sahaja tidak kira dirumah mahupun pejabat, sebarang bentuk keselesaan adalah terletak di kalangan pengguna itu sendiri. Selain itu, e-dagang membolehkan transaksi dilakukan secara elektronik dan mudah diuruskan. Ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos dari segi masa dan tenaga, malah sesuatu produk yang sukar ditemui boleh didapati menggunakan konsep e-dagang dimana setiap pelanggan berupaya mengakses maklumat dan membuat pilihan.

            Penggunaan e-dagang secara global telah menyaksikan wujudnya satu entiti perniagaan moden yang berkonsepkan teknologi maklumat atau dipanggil sebagai perniagaan maya. Akan tetapi, isu utama yang turut ditekankan adalah mengenai keselamatan maklumat peribadi. Rata-rata pengguna masih lagi waspada dan ragu-ragu terhadap keselamatan transaksasi melalui talian dimana terdapat kemungkinan maklumat peribadi mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer. Namun begitu dengan kemunculan teknologi seperti Secure Electronic Transaction (SET), Secure Socket Layer (SSL), peningkatan keselamatan Firewall diharapkan dapat membantu mengurangkan kegusaran pelanggan. Sebagai contoh, teknologi SET memerlukan pembeli, penjual dan pihak bank berdaftar dengan badan persijilan tertentu bagi mengesahkan identiti mereka semasa melakukan urusniaga. Pengesahan ini akan dilakukan secara luar talian seperti melalui telefon, faks dan sebagainya ( Lee Fong Yeaw, 2013 ).

5.0       Tahap Penggunaan E-Dagang Di Malaysia

          Penekanan kerajaan terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur ICT di Malaysia diberi penekanan serius dengan memperkenalkan Multimedia Super Corridor (MSC) pada tahun 1996. Di bawah Rancangan Malaysia ke-7 (1996 - 2000), pembangunan infrastruktur ICT telah dibangunkan bagi mengukuhkan lagi perkembangannya menerusi ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge based economy) dan masyarakat kaya maklumat (society information rich) (Unit Perancang Ekonomi, 1996). Malaysia telah mula memperuntukkan perbelanjaan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan pada pertengahan tahun 1990-an dan antara lain adalah dengan melancarkan Agenda IT Negara (NITA) dan MSC (Unit Perancang Ekonomi, 2001).

           Usaha kerajaan untuk melihat Malaysia menjadi penggerak dalam pembangunan ICT disedari oleh pemimpin negara yang mana ICT memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan negara khususnya bagi meningkatkan keefisienan, produktiviti, dan persaingan (Mohd Yusof, Fuziah, Mohd Safar, dan Mat Pauzi, 2009). Pihak kerajaan begitu bersungguh dan konsisten dalam membangunkan dan memperkembangkan ICT di Malaysia. Ianya dapat dilihat menerusi percaturan dan perancangan yang telah dirangkakan dalam Rancangan Malaysia ke-8 dan Rancangan Malaysia ke-9. Kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk infrastuktur dan pembangunan bagi program berkaitan dengan ICT menerusi RMK-8 iaitu sebanyak RM7.89 bilion dan RMK-9 pula sebanyak RM12.89 bilion (Unit Perancang Ekonomi, 2006). Sehubungan dengan itu, MSC merupakan projek perintis dalam menyelaraskan keseluruhan perkembangan ICT yang telah direncanakan seluruh negara bagi menuju ke arah era maklumat (information age) dan menjadi negara maju menjelang tahun 2020 (Mahathir, 1998).

           Aplikasi perdana dalam MSC adalah terdiri daripada tujuh aplikasi kesemuanya iaitu terdiri daripada aplikasi Kerajaan Elektronik, Kad Pelbagai Guna (MyKad), Sekolah Pintar, Telekesihatan, Pemasaran Tanpa Sempadan termasuklah e-dagang, Pembangunan Usahawan Teknologi, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) (Mahathir, 1998; Siliconindia, 2004). Antara objektif kewujudan projek aplikasi perdana tersebut adalah untuk melonjakkan pembangunan, memberi peluang perniagaan, dan juga memupuk pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam bidang IT serta bidang Multimedia (Unit Perancang Ekonomi, 2006).
           Aplikasi e-dagang merupakan antara projek yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan lagi komunikasi dan transaksi menerusi elektronik melalui transaksi perniagaan secara atas talian (on-line). Hal ini demikian kerana, walaupun ianya masih diperingkat awal, e-dagang telah menunjukkan potensi yang tinggi dalam merevolusikan proses dan struktur industri dan mengembalikan semula persekitaran persaingan bagi perniagaan di seluruh dunia (Mahathir, 1998).
           E-dagang merupakan perkara baru di Malaysia. Kebanyakan pengguna lebih menggemari untuk berurusan secara langsung dan melakukan transaksi secara bersemuka tanpa menggunakan teknologi ICT seperti Internet. Hanya segelintir sahaja penduduk yang menggunapakai sistem e-dagang ini terutamanya untuk aktiviti yang melibatkan urusan transaksi kewangan seperti pembayaran bil, menempah tiket penerbangan dan membeli barangan dan perkhidmatan secara on-line (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, (SKMM), 2008).
           Penggunaan e-dagang di Malaysia dilihat mula berkembang pesat sejak tahun 2000 apabila pendapatan yang diperoleh adalah sebanyak RM1.6 bilion dan ianya telah melonjak sebanyak 600 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya (ITU, 2002). Pada tahun 2000, satu kajian telah dijalankan dan ianya mendapati lima peratus daripada pengguna Internet di Malaysia pernah melakukan pembelian menerusi e-dagang (Rosario, 2000). Pada tahun 2005, kajian yang dijalankan oleh SKMM telah mendapati sebanyak 9.3 peratus pengguna Internet telah melakukan aktiviti yang melibatkan e-dagang seperti pembelian menerusi on-line (SKMM, 2005). Ianya dilihat terus meningkat dengan mencatatkan sebanyak 11.4 peratus daripada pengguna Internet yang pernah melakukan pembelian menerusi Internet (SKMM, 2006). Pada tahun 2010, kajian dari SKMM mendapati bahawa jumlah tersebut telah meningkat kepada 33.6 peratus. Hal ini telah menunjukkan bahawa aktiviti yang melibatkan e-dagang dalam Internet telah mula mendapat perhatian daripada pengguna Internet. Penggunaannya adalah semakin meningkat saban tahun dan ianya dijangkakan akan terus meningkat sejajar dengan peningkatan penggunaan Internet itu sendiri.
           Berdasarkan keratan akhbar Berita Harian bertarikh 30 Mac 2015, bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012 (Laporan Ekonomi 2013/3014). Statistik juga menunjukkan lebih banyak pengguna Internet di Malaysia adalah pembeli berbanding penjual dengan saiz pasaran urus niaga dalam talian di Malaysia dijangka mencecah RM5 bilion menjelang 2014 berbanding RM1.8 bilion pada 2010. (Berita Harian, 30 Mac 2015).
         Beberapa polisi dan juga strategi telah diambil oleh pihak kerajaan dan juga para peniaga bagi memastikan perniagaan secara e-dagang di Malaysia dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Namun begitu, terdapat beberapa isu dan juga perkara yang perlu diberi perhatian semasa melakukan perancangan dan juga polisi dan juga strategi bagi e-dagang di Malaysia. Hal ini adalah termasuk dengan perkara yang melibatkan adat resam, agama, dan juga kebudayaan kerana negara kita terdiri daripada masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum. Ini akan menjadikan kelainan dalam merencanakan polisi dan juga strategi bagi e-dagang. Pihak kerajaan dan juga pihak swasta perlulah memainkan peranan dalam memastikan polisi dan strategi ini dapat dijalankan.

           Untuk menarik perhatian pengguna untuk menggunakan perkhidmatan e-dagang, sokongan dan peranan kerajaan amat diperlukan terutamanya berkaitan dengan aspek perundangan dan keselamatan. Kerajaan perlu merangka beberapa dasar yang dilihat tidak membebankan dan efisien. Selain itu, peraturan-peraturan yang ditetapkan hendaklah bersifat telus dan melindungi hak, harta dan mengawal sebarang bentuk penipuan. Kerajaan juga perlu sentiasa memastikan dan memantau undang-undang e-dagang dari semasa ke semasa agar ianya tidak mendatangkan beban kepada pengguna.

           Peranan swasta juga amat penting dalam perjalanan e-dagang di Malaysia. Untuk mewujudkan suasana perjalanan e-dagang yang kondusif, pihak swasta hendaklah mewujudkan satu sistem transaksi selamat yang melindungi pengguna dari ancaman penggodam siber supaya maklumat peribadi pengguna tidak disalah gunakan. Penyediaan kemudahan yang bersifat mesra pelanggan perlu diwujudkan supaya persekitaran komunikasi dan interaksi dapat dijalankan dengan lancar dan selesa.

6.0       Cabaran Dan Halangan Penggunaan E-Dagang
         E-dagang merupakan sebuah teknologi baru yang tidak terlepas daripada cabaran yang ditempuh dalam usaha untuk dikembangkan serta digunapakai oleh orang ramai. Ia kurang mendapat sambutan kerana masih lagi di peringkat awal terutamanya bagi Negara yang membangun. Cabaran dan rintangan yang dihadapi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malahan di seluruh dunia. Tidak semua golongan masyarakat dapat menyambut baik teknologi baru yang diperkenalkan ini. Terdapat sebahagian yang masih berminat untuk menggunakan perkhidmatan e-dagang ini untuk urusan kerja dan juga aktiviti seharian.

         Ketidakcukupan perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar merupakan factor utama dalam menjadi penghalang dan kekangan terhadap perkembangan e-dagang dalam sesebuah negara. Bagi memenuhi keperluan maklumat dalam laman sesawang kepada pelanggan, perkhidmatan perlu disediakan oleh pembekal. Pengguna akan mendapat maklumat tersebut menerusi laman sesawang dan ini akan memberi impak yang positif apabila pengguna turutmelakukan proses pembelian dan kegiatan perdagangan menerusi internet (Turban dan King,2003).

        Para pengguna lebih mementingkan kualiti sebenar sesuatu barangan yang dibeli. Pengguna yang bijak tidak melihat sesuatu barangan dari segi luaran semata-mata tanpa mengetahui kualiti sebenar barang tersebut. Contohnya, para pengguna dapat mebeli sesuatu produk dengan hanya melihat catalog yang diiklankan dalam perniagaan internet. Apabila barangan yang dipesan sampai kepada pembeli, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain daripada terpaksa menerima barangan tersebut walaupun tidak menepati kehendak mereka (Ding Chong Ming,2012).

         Segala maklumat yang dipaparkan juga turut boleh disalahguna oleh sesetengah pihak. Ini kerana, maklumat-maklumat yang terkandung di dalam web boleh diubahsuai tanpa meninggalkan sebarang kesan. Keadaan ini menyebabkan pihak pembekal mengalami cabaran dalam dunia maya. Selain itu, jenayah siber sering berlaku dikalangan masyarakat dan ia sukar dikesan kerana mereka mahir memanipulasikan e-dagang. Ada sesetengah laman web perdagangan palsu menyebabkan pengguna tidak mendapat barangan yang dipesan walaupun pembayaran telah dilakukan melalui elektronik. Jelaslah, e-dagang dapat menimbulkan kesan baik dan buruk kepada para pengguna.

7.0       Faktor-faktor Pendorong Penggunaan E-Dagang
         E-dagang merupakan aliran utama membolehkan sesuatu perniagaan menjual barangan dan perkhidmatan kepada pengguna secara global (Reynolds, 2004). E-dagang juga dipanggil sebagai hubungan antara pelanggan dengan organisasi yang bukan hanya berlaku sekadar untuk berkomunikasi menerusi laman sesawang, malah membolehkan proses pembelian barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh organisasi dilakukan (Botha, Bothma & Geldenhuys, 2008).

Turban, Leidner, McLean, dan Wetherbe (2008) pula mentafsir e-dagang sebagai suatu proses pembelian, penjualan, pemindahan, pelayanan, atau pertukaran produk, perkhidmatan, atau informasi menerusi rangkaian komputer, termasuklah Internet. Selain itu, ungkapan e-dagang turut dikenali sebagai aktiviti-aktiviti perniagaan yang dilakukan dengan menggunakan pelantar Internet dan dalam laman sesawang secara khususnya (Chaudhury & Kuiboer, 2002).

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan e-dagang yang telah dikenal pasti oleh pengkaji, iaitu kebergunaan, mudah digunakan, pengaruh sosial, kepercayaan, kos, dan keselamatan. Faktor kebergunaan dan faktor mudah digunakan merupakan atribut yang asal daripada Model Penerimaan Teknologi (TAM) yang dipelopori oleh Davis (1989).

a. Kebergunaan dan Kemudahgunaan

Berhubung penggunaan teknologi baharu, iaitu mel elektronik (e-mel) dan tahap penerimaan pengguna terhadap sistem berkenaan terdapat dua faktor digunakan sebagai pemboleh ubah berhubung dengan Model Penerimaan Teknologi (TAM), iaitu faktor kebergunaan (sangat penting dan berguna) dan faktor mudah digunakan. Hasil kajian tersebut mendapati faktor kebergunaan memiliki tahap signifikan yang kuat terhadap penggunaan sistem e-mel. Oleh yang demikian, faktor ini mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesebuah teknologi baharu (Davis, 1989; Davis, Bagozzi, & Warshaw, 1989). Selain itu mendapati faktor kebergunaan memiliki hubungan yang paling kuat terhadap penerimaan perbankan Internet di Hong Kong. Tambah beliau lagi, faktor lain seperti faktor mudah digunakan, risiko terhadap perbankan Internet, dan kepembaharuan peribadi dalam teknologi maklumat (IT) turut memiliki hubungan yang positif dengan menerima guna perbankan Internet. Lee (2009) pula mengenal pasti bahawa pemboleh ubah kebergunaan memiliki hubungan positif yang dapat mempengaruhi penggunaan perbankan Internet di Taiwan.

Selain itu, hasil kajian mendapati bahawa faktor mudah digunakan turut memberi kesan terhadap keinginan seseorang untuk membeli menerusi online atau secara offline (Kloping & McKiney, 2004). Hal ini menunjukkan bahawa seseorang pengguna akan mengenal pasti atau mencuba sesebuah aplikasi yang disediakan sama ada ia mudah digunakan atau sebaliknya dan seterusnya mempengaruhi seseorang pengguna untuk terus mencuba atau menggunakan sistem tersebut atau memberhentikannya. Justeru, mudah digunakan merupakan faktor penting yang memberi kesan secara langsung kepada pengguna sama ada mahu membeli secara online atau sebaliknya (McCloskey, 2004).

b. Pengaruh Sosial

Faktor-faktor lain yang mempengaruhi keinginan seseorang pengguna untuk menggunakan sesebuah aplikasi yang baharu seperti e-dagang ialah faktor pengaruh sosial. Hasil kajian oleh Fan, Saliba, Kendall, dan Newmarch (2005) mendapati pengguna lebih suka memberi cadangan dan saranan berkaitan sesuatu perkhidmatan yang digunakan kepada orang lain sekiranya mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Mereka lazimnya akan memberitahu dan menyarankannya kepada rakan mereka yang terdekat supaya turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut (Fan dan rakan-rakan, 2005). Pengaruh sosial juga memberi kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan pengguna terhadap sistem m-dagang (m-commerce) (Wei, Marthandan, Chong, Ooi & Arumugam 2009). Hal ini menunjukkan pengaruh sosial sebenarnya memiliki kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan sesuatu aplikasi seperti m-commerce. Bersandarkan kajian lalu, berikut merupakan hipotesis yang dibentuk.

c. Kepercayaan

Kajian oleh Jarvenpaa, Tractinsky, dan Vitale (2000) mendapati faktor kepercayaan adalah penting dalam hal yang berkaitan dengan risiko dan pertukaran menerusi elektronik. Ini menunjukkan bahawa faktor kepercayaan diberi keutamaan oleh pengguna apabila melibatkan penggunaan sesebuah aplikasi dalam sesebuah laman sesawang. Selain itu, Cho, Kwoo, dan Lee (2007) pula mendapati bahawa faktor kepercayaan merupakan aspek yang sangat penting dan rumit dalam suasana persekitaran seperti e-dagang dan m-commerce berbanding dengan perdagangan secara konvensional. Faktor kepercayaan juga merupakan faktor asas dalam sesebuah laman web e-pembelian (Lim, Lim, & Heinrichs, 2008). Penerimaan terhadap faktor kepercayaan yang tinggi dalam sesebuah laman sesawang e-pembelian dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna. Hal ini menunjukkan bahawa faktor kepercayaan merupakan faktor penentu sama ada pengguna sesebuah aplikasi tersebut akan menggunakan aplikasi terbabit atau tidak.

d. Kos

Kajian Mei (2008) mendapati terdapat hubungan pekali yang negatif antara kos e-dagang dengan sumber teknologi e-dagang dan dimensi rangkaian perniagaan menerima dan menggunakan e-dagang. Menurutnya lagi, hal ini menunjukkan bahawa apabila semakin tinggi kos daripada e-dagang tersebut, maka semakin bertambah halangan untuk menerima dan menggunakan e-dagang seperti yang dijangkakan. Oleh itu, faktor kos merupakan faktor yang penting dalam menerima dan menggunakan sesebuah inovasi (Sathye, 1999).

Malah bagi Sathye (1999), faktor kos merupakan salah satu sebab yang menjadi halangan terhadap penggunaan perbankan Internet di Singapura dan Australia. Kesedaran terhadap kos memiliki hubungan yang signifikan terhadap kecenderungan perbandingan pembelian secara online (Park, 2010). Pengguna membandingkan terlebih dahulu kos yang ditawarkan dalam sesebuah laman sesawang sebelum melakukan pembelian. Sehubungan dengan itu, pengguna amat menitikberatkan perkara berkenaan dengan kos dalam menggunakan aktiviti yang berkaitan dengan e-dagang. Harga ditakrifkan sebagai jumlah kos kewangan kepada pengguna untuk membeli (Dillon & Reif, 2004). Justeru, harga dan kos yang berpatutan merupakan motivasi utama seseorang pengguna online dalam melakukan urusan pembelian menerusi laman sesawang (Swatman, Krueger & Van der Beek, 2006).

e. Keselamatan

Faktor keselamatan juga sering dibincangkan dan digunakan oleh para sarjana sebagai pemboleh ubah yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesuatu aplikasi yang baharu seperti dalam aplikasi perbankan elektronik. Di samping itu, penggunaan transaksi menerusi elektronik atau Internet tidak dapat menjamin keselamatan 100 peratus memandangkan terdapat kes pencerobohan seperti kecurian kata laluan akaun (atau dikenali sebagai phishing), penggodaman, kod berniat jahat, spam, gangguan, percubaan penembusan untuk mendapatkan informasi sulit, dan sebagainya (e-security 2009; Coleman dan Golub, 2008). Justeru, faktor keselamatan merupakan faktor yang paling penting dalam menjalankan urusan yang melibatkan urusan transaksi seperti urusan pembelian secara online atau menerusi kad kredit (Fuenell dan Karweni, 1999). Nadim dan Noorjahan (2007) mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara faktor keselamatan dan kerahsiaan berhubung dengan keinginan seseorang pengguna untuk menggunakan sesebuah sistem. Faktor keselamatan dititikberatkan oleh seseorang pengguna dalam menggunakan sesuatu sistem yang baharu seperti aplikasi e-dagang.

8.0       Kesimpulan

         Perkembangan E-dagang di Malaysia sememangnya sudah berada pada tahap yang melonjak meningkat dari semasa ke semasa. Dengan usaha dan inisiatif daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kerajaan agar memastikan sistem E-dagang ini diimpimentasikan sepenuhnya oleh masyarkat di Malaysia. Pelbagai faktor dan kerangka dan pembinaan infrastuktur telah membangun kelak. Ia sejajar dengan perkembangan pesat sistem E-dagang telah diterapkan oleh beberapa Negara maju dan sedang membangun bagi memacu ekonomi masiing-masing.

           Kejayaan e-dagang memerlukan gabungan perkongsian di antara sektor swasta dan sektor awam. Sektor awam perlu menjadi peneraju dengan mengelakan kekeliruan di antara beberapa agensi kerajaan serta berhati-hati supaya tidak timbul pertelingahan daripada sudut kewibaan (authority). Peningkatan infrastruktur komunikasi dalam bidang teknologi maklumat akan mempengaruhi kelajuan dan peningkatan penggunaan aplikasi e-dagang bagi sesebuah negara. Malaysia sudah pun menuju ke arah itu dengan projek Lebuhraya Multimedia. Oleh yang demikian adalah diharapkan urusniaga melalui e-dagang akan menjadi satu budaya urusniaga yang menggalakan dalam masa yang terdekat. Disamping itu juga, perdagangan ini mempunyai peluang yang sangat besar di dalam kegiatan atau urusan perniagaan di Malaysia. Melalui e-dagang ini juga akan memperkenalkan cara dan gaya baru dalam urusniaga. Oleh yang demikian para peniaga harus bersedia dan merangka polisi dan strategi bagi memasuki pasaran baru dengan e-dagang.

Rujukan

1.    Tahap Hubungan Antara Pelnagai Faktor Terpilih Dengan Keinginan  
      Menggunakan E-Dagang Dalam Kalangan Pengguna Internet - Ahmad   
     Syahrul Haniff Mohd Rawi, Siti Zobaidah Omar & Muhamad Sham Shahkat
     Ali.

2.    Ab. Aziz Yusof. (2008). Pengurus Glokal : Menerjah Pengurusan Global.
     Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd

3.    Abdul Manaf Bohari. (2009). Isu-Isu Profesional ICT di Malaysia: Teknologi
    Dan Perniagaan. Kuala Lumpur: IBS Buku.

4.    Sinar Harian, (13 April 2015), Beri Tumpuan E-dagang.

5.    E-Dagang : Satu konsep perniagaan baru. ( 2013 ) . Berita Harian, 23 Mac :
              10.

6.    Bernama, 29 Jun 2015 Potensi E-Dagang Belum Dimanfaatkan Sepenuhnya
      Ahmad Shabery.


1 ulasan:

  1. Artikel yang baik, Pernahkah anda mendengar tentang LFDS (Perkhidmatan Pembiayaan Le_Meridian, E-mel: lfdsloans@outlook.com --WhatsApp Hubungi: +1-9893943740--lfdsloans@lemeridianfds.com) adalah sebagai perkhidmatan pendanaan Amerika Syarikat / UK yang mereka memberikan saya pinjaman $ 95,000.00 untuk melancarkan perniagaan saya dan saya telah membayarnya setiap tahun selama dua tahun sekarang dan saya masih mempunyai 2 tahun lagi walaupun saya senang bekerja dengan mereka kerana mereka adalah pemberi pinjaman Pinjaman tulen yang boleh memberi pinjaman kepada anda.

    BalasPadam